13 Mei 2008

Darul Quran dinaik taraf kolej universiti

KUALA KUBU BHARU 11 Mei - Darul Quran yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melahirkan penghafaz al-Quran akan dinaik taraf menjadi kolej universiti dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kertas kerja bagi menaiktaraf Darul Quran yang kini berstatus bahagian latihan di bawah Jakim akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan pada tahun ini.

''Pada mulanya, kita naik taraf sebagai kolej universiti yang proses kelulusan, melatih kakitangan dan meningkatkan infrastruktur dijangka mengambil masa tiga tahun.

''Matlamat jangka panjang kita ialah menjadikannya universiti pertama di Asia Tenggara yang berupaya melahirkan penghafaz al- Quran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 900 pelajar dan 88 kakitangan Darul Quran di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Darul Quran, Che Ibrahim Che Man.

Menurut Ahmad Zahid, langkah itu akan membolehkan ia melahirkan penghafal berkelulusan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, berbanding sekarang hanya sijil dan diploma menerusi program berkembar dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagaimanapun, katanya lagi, kolej universiti itu tidak akan diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang kini bertanggungjawab terhadap semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

''Kolej universiti ini akan diselia oleh Jabatan Perdana Menteri dengan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi kerajaan (IPTK)," jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Darul Quran juga akan mula mengambil pelajar buta bagi mengikuti kursus menghafaz menggunakan kaedah braille pada tahun ini.

''Satu kelas khusus untuk golongan ini akan diwujudkan selaras dengan permintaan Persatuan Kebajikan Orang-Orang Buta Islam,'' katanya.