11 November 2007

Muzakarah imam lulus empat usul

BANGI 15 Jun – Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 yang berakhir hari ini meluluskan empat usul iaitu menjadikan masjid sebagai hab ekonomi umat Islam, memantapkan sistem pengurusannya, mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi ilmu dan menjadikannya pusat komuniti.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul pertama berkaitan ekonomi itu membabitkan langkah membentuk jawatankuasa bertindak peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

‘‘Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyediakan garis panduan dan pelan tindakan untuk diguna pakai oleh masjid di seluruh negara.

‘‘Hab ekonomi yang dicadangkan ialah dalam bentuk perniagaan seperti kedai runcit, restoran, busana muslim, kedai buku, kafe siber dan penyediaan rumah sewa serta industri kecil dan ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan ketetapan muzakarah pada penutup majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk muzakarah itu berkata, usul kedua membabitkan langkah memantapkan sistem pengurusan masjid supaya ia menjadi lebih profesional.

‘‘Pegawai masjid yang bertauliah terutama yang berkemahiran dalam bidang pentadbiran perlu dilantik sebagai pengurus masjid dan mereka harus disediakan dengan kemudahan komunikasi dan infrastruktur terkini.

‘‘Kita juga mahu persekitaran fizikal masjid sentiasa bersih dan cantik dan mempunyai sistem keselamatan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, usul ketiga, melibatkan cadangan menjadikan masjid sebagai institusi ilmu yang cemerlang dengan mengadakan kuliah ilmiah dalam bidang sains, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), di samping pengajian agama sedia ada.

‘‘Ia juga perlu mempunyai perpustakaan yang lengkap dan menjadi pusat pengajian tentang barat seperti gereja yang mempunyai pengajian oriental,” ujarnya.

Usul keempat, katanya, melibatkan usaha menjadikan masjid sebagai pusat komuniti bagi menjaga kanak-kanak kurang upaya dan perlindungan remaja kurang bernasib baik.

‘‘Ia juga perlu menubuhkan pasukan sukarelawan bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti membantu mangsa banjir dan kemalangan,” katanya.

Contohi Masjidilharam, Nabawi

BANGI 13 Jun – Pentadbir masjid di negara ini diminta mencontohi lapan keistimewaan yang terdapat pada Masjidil haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah yang kini diiktiraf sebagai masjid terbaik di kalangan negara-negara Islam.

Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Nik Azis Nik Pa berkata, lapan kelebihan itu ialah reka bentuk bangunan yang indah sehingga menimbulkan kekaguman di kalangan pengunjung.

Beliau berkata, masjid berkenaan juga dipastikan sentiasa bersih dan mempunyai sistem pembesar suara yang baik sehingga membolehkan khutbah didengari walaupun di mana makmum berada.

“Ketinggian mutu bacaan al-Quran juga amat dikagumi sehingga menimbulkan perasaan tenang di kalangan pendengar manakala bacaan doa dan hadis juga menggunakan sebutan bahasa Arab yang fasih.

“Jumlah jemaah juga ramai, mempunyai bilangan tandas yang banyak dan kemudahan bekalan air untuk mengambil wuduk dan minuman yang bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Masjid Sebagai Sumber Kekuatan Umat Memperkenalkan Konsep Amalan Masjid Terbaik pada Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Azis berkata, pengurusan masjid secara moden di Singapura yang dilaksanakan sejak 2003 boleh dicontohi kerana ia membahagikan masjid mengikut kategori daripada cemerlang sehingga yang kurang baik.

“Di republik itu masjid yang dikategorikan sebagai cemerlang akan dijadikan contoh untuk diikuti oleh masjid-masjid lain,” jelasnya.

Kata beliau, terdapat juga anugerah tokoh imam cemerlang di Singapura yang menyediakan ganjaran kewangan bagi menggalakkan imam bersaing sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik.

Tambah beliau, pihak pentadbir masjid juga boleh menjadikan pengurusan rumah ibadat agama lain sebagai contoh kerana ada yang diurus dengan cemerlang.

“Saya tetarik dengan tokong yang diuruskan kumpulan agama Buddha, Soka Gakkai kerana ia menyediakan tenaga sukarelawan daripada kalangan remaja untuk memastikan pengunjung meletakkan kenderaan dengan teratur.

“Kita seharusnya berasa malu jika membandingkannya dengan keadaan masjid pada waktu sembahyang Jumaat apabila kenderaan diletakkan sesuka hati oleh jemaah sehingga menghalang lalu lintas dan menimbulkan kemarahan kepada penganut agama lain,” ujarnya.

Tiada ulasan: