24 Ogos 2010

JEMPUTAN KE MAJLIS SAMBUTAN NUZUL QURAN 1431H SURAU AS-SAKINAH, TAMAN DAMAI UTAMA, KUALA KUBU BHARU

Kepada:
Ahli Kariah
Surau as-Sakinah
Taman Damai Utama, KKB


Tuan,

JEMPUTAN KE MAJLIS SAMBUTAN NUZUL QURAN 1431H
SURAU AS-SAKINAH, TAMAN DAMAI UTAMA, KUALA KUBU BHARU

Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh,


Dengan hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk.

2. Saya mewakili Ahli Jawatankuasa dan Ahli Kariah Surau as-Sakinah, menjemput tuan/ puan seisi keluarga untuk hadir bersama-sama ke majlis sambutan Nuzul Quran surau ini seperti maklumat berikut:

Tarikh: 26 Ogos 2010 (Khamis)
Masa: 8.30 p.m.
Tempat: Surau as-Sakinah


5. Maklumat lanjut berkenaan aturcara program berkenaan seperti di lampiran.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah,



(HAMZAH BIN YONOS)
Pengerusi Surau as-Sakinah
Taman Damai Utama, KKB



LAMPIRAN


TENTATIF MAJLIS SAMBUTAN NUZUL QURAN 1431H
SURAU AS-SAKINAH TAMAN DAMAI UTAMA, KKB


8.31 Solat Isya’ berjemaah

8.50 Solat Sunat Tarawih dan Witir (11 rakaat)

9.30 Majlis Sambutan Nuzul Quran bermula

9.45 Ucapan Pengerusi Majlis

9.50 Ucapan Pengerusi Surau

10.00 Majlis Khatam Quran oleh peserta taddarus remaja Kariah Surau as-Sakinah

10.15 Penyampaian cenderahati kepada peserta taddarus remaja oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hulu Selangor

10.20 Penyampaian cenderahati kepada peserta taddarus dewasa oleh Pengerusi Surau as-Sakinah

10.25 Penyampaian cenderahati kepada petugas Program Ihya’ Ramadan 1431H
- Wakil Imam solat sunat Tarawih
- Wakil Bilal solat sunat Terawih
- Ketua bacaan tahlil arwah
- Wakil Petugas Moreh

10.30 Penyampaian cenderahati kepada AJK & Pegawai Surau as-Sakinah

10.35 Jamuan

11.00 Bersurai

11 Ogos 2010

SALAM RAMADAN AL-MUBARAK 1431H

Salam Ramadan al-Mubarak diucapkan kepada semua. Sukacita dimaklumkan bahawa, Insyaallah pada bulan Ramadhan tahun ini sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya, Surau as-Sakinah akan mengadakan Program Ihya’ Ramadan seperti Solat Sunat Tarawih berjemaah, Tahlil, More, Taddarus al-Quran dan seumpamanya.

Bagi Program More, jasa baik pihak tuan/ puan Ahli Kariah adalah diharapkan untuk menyediakan makanan dan minuman secukupnya mengikut giliran jalan masing-masing. Pihak surau ada menyediakan peralatan seperti gelas, sudu dan pinggan mangkuk untuk kemudahan penyediaan makanan. Walau bagaimanapun, kerjasama pihak tuan/ puan amatlah diharapkan untuk menyediakan, membasuh dan mengemas peralatan dan tempat yang telah digunakan.

Manakala bagi Program Taddarus al-Quran, akan diadakan selepas selesai Solat Tarawih. Penyertaan tuan/ puan dan ahli keluarga amatlah dialu-alukan. Pembahagian kumpulan akan diadakan pada malam pertama Ramadhan.

Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan Ramadan pada tahun ini dengan lebih baik lagi daripada tahun-tahun sebelumnya dan seterusnya dapat mengimarahkan lagi surau kita. Sekian.

23 April 2010

MESYUARAT AGUNG KHAS PENCALONAN AJK SURAU BAGI SESI 2010-2013

Assalamualaikum... wbt...

Semua Ahli Kariah
Surau As-Sakinah, Taman Damai Utama
Kuala Kubu Bharu

Tuan/ Puan,

NOTIS MESYUARAT AGUNG KHAS PENCALONAN AHLI JAWATANKUASA SURAU-SURAU SELURUH NEGERI SELANGOR BAGI SESI 2010-2013

Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk. Surat daripada Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Ruj.: 02/04/Bil.(62)MJAR/09 bertarikh 12 April adalah berkaitan.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa Surau as-Sakinah akan mengadakan Mesyuarat Agung tersebut di atas seperti butir-butir di bawah:

Tarikh : 30.4.2010 (Jumaat)
Masa : 9.00 malam (Slps. Solat Isya’)
Tempat : Surau as-Sakinah

3. Agenda Mesyuarat adalah seperti berikut:
3.1 Bacaan Al-Fatihah dan doa selamat;
3.2 Ucapan Pengerusi (Nazir Masjid Daerah Hulu Selangor);
3.3 Sesi pencalonan; dan
3.4 Penangguhan mesyuarat dengan bacaan Surah Al-Asr.

4. Justeru, dengan hormatnya tuan/ puan dijemput untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat tersebut.

5. Segala perhatian pihak tuan/ puan amatlah dihargai dan terlebih dahulu diucapkan terima kasih.

Sekian.

01 Mac 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431H

PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431H
SURAU AS-SAKINAH, TAMAN DAMAI UTAMA, KKB

Tarikh : 10 Mac 2010 (Rabu)
Masa : 8.00 p.m. (Slps Solat Maghrib)
Tempat : Surau as-Sakinah
Tajuk : Maulidur Rasul
Penceramah: Ustaz Muhammad Said
(Masjid Jamek ar-Rahimah, KKB)

Tuan/ puan & keluarga dijemput hadir

13 Februari 2010

Salam Maulidur Rasul 1431 Hijrah


Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431 Hijrah diucapkan kepada semua khasnya Ahli Kariah Surau as-Sakinah Taman Damai Utama KKB.

01 Februari 2010

JADUAL PENGISIAN/ KULIAH ILMU TAHUN 2010

SURAU AS-SAKINAH, TAMAN DAMAI UTAMA, KKB.

BIL.

NAMA PENCERAMAH

TAJUK KULIAH

MASA

HARI

KITAB/ RUJUKAN

1

Ustaz Azman

(Maktab PDRM, KKB)

Tafsir al-Quran

Slps Solat Maghrib

Ahad (Minggu pertama)

- Tafsir al-Quran

2

Ustaz Kasim Samsuri

Al-Quran

Slps Solat Maghrib

Isnin (Setiap Minggu)

- Tajwid al-Quran Rasm ’Uthmani

- Karangan Haji Abdul Qadir Leong al-Azhari

- Terbitan Pustaka Salam, Kuala Lumpur

3

Ustaz Mohd Noor

(Darul Quran, KKB)

Hadis

Slps Solat Maghrib

Selasa(Setiap Minggu)

- Hadis 40

4

Ustaz Bakri Amboala

(Darul Quran, KKB)

Hadis

Slps Solat

Maghrib

Rabu (Setiap Minggu)

5

Tuan Imam

(Surau as-Sakinah)

Bacaan Surah Yasin dan Tahlil

Slps Solat Maghrib

Khamis (Setiap Minggu)

- Surah Yasin

6

Ustaz Mohd Yusri bin Mazlan

(Darul Quran, KKB)

Tauhid

Slps Solat Maghrib

Jumaat (Setiap Minggu)

7

Tn. Hj. Ahmad bin Hassan

(Surau as-Sakinah)

Berzanji

Slps Solat Maghrib

Ahad (Minggu ke 2 - 4)

28 Disember 2009

AMALAN MENGIKUT BULAN HIJRAH: MUHARAM

Lagi petikan buku Indahnya Hidup Bersyariat: Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat SEPANJANG HAYAT. Karangan al-Ustaz Dato' Ismail Kamus dan al-Ustaz Azrul Azlen Abdul Hamid. Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Tahun 2009.

. 1-9hb sunat puasa
. 10hb sunat puasa Asyura
dan:

i. Menyapu kepala anak yatim.
ii. Bersedekah kepada fakir miskin.
iii. Bercelak mata pada waktu malam.
iv. Menambah perbelanjaan keluarga.
v. Memperbanyakkan bacaan yang bermaksud (70 kali):

"Allah telah mencukupkan segala sesuatu bagiku. Dan sebaik-baik tempat kuserahkan diri adalah kepada Allah. Dialah sebaik-baik Penjaga dan sebaik-baik Penolong."

* Pohon dizinkan perkongsian ini...

27 Disember 2009

AMALAN -AMALAN SUNAT MENGIKUT TAKWIM ISLAM: AMALAN SEPANJANG MASA

Petikan buku Indahnya Hidup Bersyariat: Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat SEPANJANG HAYAT. Karangan al-Ustaz Dato' Ismail Kamus dan al-Ustaz Azrul Azlen Abdul Hamid. Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Tahun 2009.

a) Solat fardu berjemaah di masjid, surau atau di rumah.
b) Mendirikan solat sunat Rawatib.
c) Mendirikan solat-solat sunat yang tertentu khususnya sunat Tahajud, Witir, Isyrak, Duha, Awwabin, Tasbih dan lain-lain.
d) Membaca zikir ma'thurat selepas solat Subuh.
e) Membaca al-Quran.
f) Menghadiri majlis ilmu seperti ceramah, kelas agama dan sebagainya.
g) Puasa sunat pada hari Khamis dan Isnin atau pada 13hb, 14hb dan 15hb mengikut bulan takwim Islam (dipanggil hari-hari bulan cerah), pada 28hb, 29hb dan 30hb (dipanggil hari-hari bulan gelap)
h) Membaca segala wirid/ doa harian.
i) Bersedekah.
j) Mengerjakan umrah jika mampu, khususnya pada bulan Ramadan.
k) Memelihara mulut, mata, telinga dan anggota-anggota lain daripada perbuatan maksiat dan keji.
l) Mengingati MATI dan menziarahi saudara/ sahabat yang sakit dan yang mati, solat jenazah dan menghantarnya ke kubur.
m) Menziarahi sahabat handai, saudara-mara lebih-lebih lagi orang-orang alim, para ulama dan tuan-tuan guru.
n) Amar maaruf dan nahi mungkar.

14 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431

Tahun baru, harapnya azam pun baru.
Moga hari ini lebih baik dari semalam.
Semoga tahun baru Hijrah 1431 membawa seribu hikmah buat kita semua.


Dengan ingatan tulus ikhlas daripada:

Pengerusi dan AJK

Surau as-Sakinah
Taman Damai Utama
KKB

04 Disember 2009

Salam

Selamat Datang ke blog Surau as-Sakinah, Taman Damai Utama, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan. Semoga memberi manfaat dan dimanfaatkan.

07 Oktober 2009

MAJLIS SAMBUTAN AIDIL FITRI 1430H TAMAN DAMAI UTAMA KKB

Jawatankuasa Sambutan Aidil Fitri 1430H Taman Damai Utama KKB menjemput seluruh warga Taman Damai Utama, KKB ke majlis tersebut seperti maklumat berikut:

Tarikh: 11 Oktober 2009 (Ahad)
Masa: 3.00 pm hingga 7.oo pm
Tempat: Dewan Orang Ramai, Taman Damai Utama, KKB
Menu: Ketupat, lemang dan banyak lagi...

Semoga kehadiran tuan/ puan dapat memeriahkan lagi majlis ini di samping mengeratkan lagi silaturrahim sesama jiran tetangga.


"Sepakat membawa berkat"

16 September 2009

Pesta ibadah hampir berakhir

Salam Aidil Fitri 1430H, Maaf Zahir & Batin


Sila renungi artikel di bawah... bagaimana dengan kita dan ahli keluarga kita?



Dengan ingatan Tulus Ikhlas daripada:


Pengerusi & Jawatankuasa

Surau as-Sakinah

Taman Damai Utama, KKB




Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/612/72/

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.

Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.

"waste of time!!" katanya lagi.

Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).

Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.

Sebagaimana kata-kata hukama :-

الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ

Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)

BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?

Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-

1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)

Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI

Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.

Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.

Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.

Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.

Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri