16 September 2009

Pesta ibadah hampir berakhir

Salam Aidil Fitri 1430H, Maaf Zahir & Batin


Sila renungi artikel di bawah... bagaimana dengan kita dan ahli keluarga kita?



Dengan ingatan Tulus Ikhlas daripada:


Pengerusi & Jawatankuasa

Surau as-Sakinah

Taman Damai Utama, KKB




Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/612/72/

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.

Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.

"waste of time!!" katanya lagi.

Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).

Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.

Sebagaimana kata-kata hukama :-

الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ

Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)

BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?

Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-

1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)

Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI

Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.

Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.

Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.

Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.

Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri

08 September 2009

Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al Quran

Pada 7/9/2009 bersamaan 17 Ramadhan 1430 hijrah. Kelab Basikal As Sakinah ( As Sakinah Cycling Club ) dengan Kerja sama Pengerusi dan AJK Surau As Sakinah telah mengadakan majlis berbuka puasa dan more untuk Jamaah Surau ( Penduduk Taman Damai Utama) dan Jemputan.
Alhamdulillah kehadiran pada hari itu begitu mengalakkan. Pada malam yang sama juga berlangsungnya majlis Khatam Al Quran dan penyampaian cenderahati kepada mereka yang terlibat dengan tadarus, AJK Surau dan Petugas more ramadhan.


Diantara Jemaah dan Ahli As Sakinah Cycling Club sama berbuka dan bertarawih

Muslimah serta kanak-kanak memeriahkan majlis Khatam tersebut
Tuan Haji Naini Wagiman-Pengerusi Surau
Ustaz Bakri Amboala Al-Hafiz-Imam dan Mengetuai Majlis Khatam Al Quran



Antara Peserta Khatam Al Quran yang di Ketuai Ustaz Bakri ( Pensyarah Darul Quran )

Al Hafiz dari Darul Quran-Imam-imam terawih.

diantara jamaah surau

Imam-imam Terawih


Ustaz Anuar ................. dan .........................Ustaz Zakwan

Ustaz Tengku..................... dan..............Hakim Ustaz Izzat

Ustaz Tajul................... dan....................Ustaz Ridwan

07 September 2009

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & PENYAMPAIAN SAGUHATI PROGRAM IHYA’ RAMADAN SURAU AS-SAKINAH 1430H

Alhamdulillah, pada tanggal18 Ramadan 1430H brsmn. 7 September 2009 telah selesai majlis khatam al-Quran dan penyampaian saguhati Program Ihya' Ramadan 1430H bagi surau as-Sakinah.

Berikut di antara warga @ Ahli Kariah Taman Damai Utama yang telah menyumbang bakti dalam mengimarahkan dan menghidupkan Ramadan dikejiranan ini. Sekalung penghargaan juga kepada ustaz-ustaz dari Darul Quran KKB yang telah mencurah bakti menjadi imam solat sunat tarawih di surau kami.

Tak lupa kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, termasuk para dermawan. Semoga semuanya dikira sebagai amalan soleh disisiNya. Syukran.

Peserta tadarus remaja

1. Muhammad Afiq bin Abdul Rahim

2. Tajul Ariffin bin Mauli Azam

3. Muhammad Zuharis bin Rohman

4. Usamah Zaid bin Khairuddin

5. Muhammad Hakim bin Hj. Abdul Hamid

6. Ahmad Adam Syahmie bin Ahmad Syahril Akmar

7. Muhammad Anwar bin Jamil

8. Muhammad Aizat Afiq bin Ahmad Bakri

9. Amirul Asyraf bin Azuhari

Peserta tadarus muslimin

1. Ustaz Sukhairu bin Sulaiman

2. Tn. Hj. Ahmad bin Hassan

3. Tn. Hj. Abd. Rashid bin Hassan

4. Tn. Hj. Abd. Hamid bin Bidin

5. Tn. Hj. Ahmad Shahril Akmar bin Ahmad Rashdi

6. En. Rahim bin Kamaruddin

7. En. Jamil bin Ahmad Tinggal

8. En. Mauli Azam bin Zakaria

9. En. Mohd Aziz bin Abu Bakar

Peserta tadarus muslimat

1. Puan Zainah binti Jaafar

2. Puan Siti Zulaikha binti Abdul Ghani

3. Puan Latipah binti Hj. Jusoh

4. Puan Rospiah binti Idrus

5. Puan Saniah binti Din

6. Hajjah Faridah binti Hj. Mat Hashim

Imam solat tarawih

1. Ustaz Bakri bin Amboala
2. Ustaz Muhammad Tajul Naim bin Abdul Aziz
3. Ustaz Mohd Salman bin Sha Khaimin
4. Ustaz Mohd Khairul Anuar bin Che Reduan
5. Ustaz Tengku Mohd Hakim bin Kumat
6. Ustaz Abdurrahman bin Ghafar
7. Ustaz Mohd Ridwan bin Abd. Razak
8. Ustaz Mohd Izzat Naqib bin Mohd Yusoop
9. Ustaz Norzakwan bin Che Musa

Bilal solat tarawih
1. Tn. Hj. Ahmad bin Hassan
2. Tn. Hj. Abdul Rashid bin Hassan
3. En. Osman b. L. Awang
4. Tn. Hj. Abu Hassan Ashaari bin Hj. Kasim

Ketua tahlil

1. Tn. Hj. Ahmad bin Hassan

Petugas moreh

1. En. Abd. Rashad bin Ishak

2. En. Maskamal bin Sarimon


26 Ogos 2009

EMPAT TUNTUTAN DIBULAH BARKAH INI

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183 Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;
1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya. Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.
Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."
Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan. Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

23 Ogos 2009

Amalan Dalam Bulan Ramadan

PAGI

Solat sunat Subuh dan fardu Subuh, kemudian wirid biasa serta doa sesudahnya
Zikir -La Ilahaillahllah (sebanyak-banyaknya)
-Allahu Akbar - Seratus kali sebelum naik matahari (tiada Tuhan melainkan Allah)
Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Rasullullah, pada setiap
saat dan nafas sebanyak bilangan luasnya ilmu Allah) Tiada Tuhan
melainkan Allah yang berkuasa memerintah yang sebenarnya lagi nyata)
- TASBIH : (100 kali dikurniakan sepuluh ribu kebajikan, dihapuskan sepuluh ribu
kejahatan, diangkat sepuluh ribu darjat) (Maha suci Allah dan segala pujian
bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, tiada suatu
daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang maha tinggi lagi maha
agung)
SELAWAT : Sekurang-kurangnya 10 atau 100 kali

SOLAT SUNAT

Solat sunat Isyraq
Solat sunat Dhuha
Solat sunat Tasbih dan
Membaca al-Quran

Membaca doa taubat 'Akasyah (memohon keampunan taubat dosa-dosa besar)

TENGAH HARI

Solat sunat Zuhur - Fardhu Zuhur - Sunat Zuhur serta doa ISTIGHFAR:
(a) 70 kali/100 kali) (Aku memohon keampunan Allah dan aku bertaubat kepadNya)
(b) (70/100 kali: Pohon keampunan ibu bapa) (yang bermaksud: Tuhanku,ampunilah bagiku
bagi dua ibubapaku dan rahmatilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku
ketika kecil.
(c) (25 kali:wasiat Nabi kepada Saiyidina Ali supaya dikasihi Allah (Aku memohon keampunan
kepada Allah yang maha agung bagiku dan bagi dua ibu bapaku dan bagi sekalian muslimin
dan muslimat, mukminin dan mukminat (lelaki dan perempuan) hidup dan mati)

PETANG

1. Solat Sunat Asar - Fardhu Asar - wirid/doa
2. Zikir (sebanyak yang boleh) Tiada Tuhan melainkan Allah
3. Tasbih yang bermasksud: (a) Maha Suci Allah yang maha Tinggi (b) (100 kali) dikasihi Tuhan
dan berat timbangannya di akhirat. (Maha suci Allah yang maha agung)
4. Bertakbir (100 kali) amanah Nabi kepada Sayidina Ali sesudah senbahyang asar sebelum
tenggelam matahari - setiap hari
5. Selawat: (10/100 kali)

MAGHRIB:

berbuka puasa - solat Maghrib dan sunat Maghrib
solat sunat Awwabin membaca (50 atau 100 kali) menjadi pengadang dunia dan akhirat. (tiada
suatu kekuatan melainkan dengan Allah yang maha agung)

ISYAK:

Solat sunat Isyak, fardu Isyak, sunat Isyak
Solat sunat Terawih, sunat witir
membaca al-Quran

TENGAH MALAM

Jam 12 malam atau 3.00 pagi hingga fajar Subuh

Solat sunat wuduk
Solat sunat Tahajud (dua atau empat atau enam atau lapan atau 12 rakaat) dan berdoa
Solat sunat hajat (memohon sesuatu hajat dan berdoa)
Berzikir (di dalam hati nurani/ingatan sebanyak-banyaknya).
Tasbih Istighfar (100 kali/70 kali). (Maha Suci Allah dan dengan segela kepujianNya maka suci
Allah yang Maha Agung, aki mohon keampunan kepada Allah
Yang Maha Agung dan aku bertaubat kepada-Nya).
Membaca tasbih dan zikir majmuk (sebanyak 100 kali). (Maha suci Allah dan segala kepujian
bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Agung,
tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah).

Setelah masuk waktu Subuh dan setelah azan Subuh,

solat sunat Subuh/fajar dua rakaat, sebelum solat Subuh (antara azan dan solat fardu Subuh). Bacalah istighfar tabih 100 kali dan kemudian berdoa, kerana ini termasuk waktu mustajab doa - antara azan Subuh dengan solat Subuh, iaitu bermaksud: bertasbih dan mohon keampunan (jika sempat waktunya). (Maha suci Allah dengan segala kepujiannya, maha suci Allah yang maha agung aku memohon keampunan kepada Allah yang maha Agung dan aku bertaubah kepada-Nya)

BERSEDEKAH:

Bersedekah setiap hari pada bulan Ramadan tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadan. Bersedekah pada bulan Ramadan menutup kesalahan puasa, diampunkan dosa , berlipat ganda pahalanya. Dicurahkan rahmat Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan ke syurga, terjauh dari bala.

21 Ogos 2009

Salam Ramadhan al-Mubarak 1430H

Assalamualikum...wbt...

Salam Ramadhan al-Mubarak 1430H diucapkan khusus kepada Ahli Kariah Surau as-Sakinah, Taman Damai Utama, KKB dan kepada seluruh Ummat Islam amnya. Semoga dirahmati dan diberkati.

Di antara Program Ihya' Ramadhan 1430H Surau as-Sakinah:
  • Solat fardhu berjemaah
  • Solat sunat Tarawih
  • Bacaan Tahlil
  • Moreh
  • Taddarus al-Quran
  • Majlis khatam al-Quran
  • Iftar
  • Kutipan zakat fitrah
  • ...dan banyak lagi...
Semua Ahli Kariah dijemput untuk mengimarahkan surau kita dan menghidupkan Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

- AJK

09 Ogos 2009

Mesyuarat Jawatankuasa Bil. 4/2009

Assalamualaikum Warahmatullah...

Alhamdulillah, mesyuarat jawatankuasa bil. 4/2009 telah selamat diadakan pada 5 Ogos 2009 khusus untuk membincangkan persediaan program ihya' Ramadhan 1430H.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, insyaallah, di antara program yang telah diatur ialah solat sunat tarawih, taddarus, moreh, majlis berbuka puasa etc. More details akan dimaklumkan melalui surat yang akan diedarkan ke rumah setiap Ahli Kariah Surau as-Sakinah.

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1430H!

Sekian dulu, wassalam.